Siapa pun kita, bagaimana pun kita, hidup kita tetap ditentukan dengan kisaran takdir-takdir Allah. Dan salah satu dari tkadir tersebut digelar Rezeki...
Petang itu saya ketika di tempat kerja, saya mendapat satu panggilan telefon. dari nombor yang tidak dikenali. Tabiat yang tidak berapa elok yang saya ada antaranya ialah saya taidak akan menjawab sebarang panggilan telefon dari nombor yang saya tidak tahu siapa pemiliknya.
Tapi, petang itu saya tergerak untuk menjawab panggilan tersebut...
Lalu si pemanggil pun menceritakan tujuannya menelefon saya. Menceritakan serba sedikit tentang berita penting yang memang perlu disampaikan.
Selesai perbualan kami, yang agak ringkas si pemanggil mematikan talian. Manakala saya masih tergamam. Dada berdegup, roma meremang, sebak, terharu, gembira, seronok. Rasa-rasa tersebut bercampur aduk.
Berita yang disampaikan tadi sangat memeranjatkan. Antara percaya dengan tidak 'Saya terpilih untuk menunaikan Ibadah haji bersama muasasah pada tahun ini'....
Tanpa sedar, mata mula bergenang.
"AllahuAkbar!!. Syukur ya Allah..."
Khabar itu serta merta saya beritahu kepada Ma (emak) yang ketika itu sedang berada di Kuala Lumpur kerana yang terlintas di fikiran saya waktu itu - "Ma kena tahu dulu".
"Syukur Alhamdulillah..." itu ayat yang keluar dari Ma di hujung talian ketika saya khabarkan berita indah itu.
"Lepas ni kita sama-sama kumpulkan duit".. sambung Ma lagi.
Rezeki. Kalau memang telah tertulis ditentukan menjadi hak kita, apa jua halangan ia tetap akan menjadi hak kita. Kalau masih belum ditentukan, apa jua ikhtiar dan usaha selagi masanya belum tiba kita tak akan mendapatnya. Tapi usaha kena sentiasa ada. Azam, Ikhtiar, ikhtiar dan ikhtiar lagi. Berdoalah kemudiannya. Dan bertwakallah. Serah segala-galanya kepada Allah.
Kerna itulah, apabila saya menceritakan pada kenalan-kenalan saya tentang saya terpilih sebagai jemaah yang akan menunaikan haji pada tahun ini ramai yang terkejut dan tertanya-tanya. bagaimana seorang yang diusia saya, boleh dikira sebagai masih muda tiba-tiba mendapat tawaran yang hebat tersebut. Ya! kalau memang sudah rezeki. Walaupun ada berlaku beberapa 'sebab yang menyebabkan akibat' tapi itu adalah cara Allah untuk membuatkan rezeki tersebut sampai kepada saya.
Bila sebut soal rezeki juga, saya terkenangkan Arwah ayah. Sebenarnya, atas ikhtiar dan usaha ayahlah rezeki ini menjadi milik saya. Dia usaha, dia ikhtiar dia berdoa, dia berazam dengan bersungguh-sungguh untuk menunaikan ibadah rukun Islam yang ke lima ini. Saban tahun ayah menunggu, saban musim dia menanti. Seusai Setiap kali musim haji, hati menjadi sayu. Usia
hampir separuh abad, tetapi ayah belum berkesempatan untuk
menunaikannya. Namun ayah tidak pernah putus asa, ayah bersama-sama lain umat Islam
yang senasib terus berusaha, berazam dan berdoa. Berdikit-dikit
dalam berbelanja, menyimpan tenaga, membina kesihatan, menyuburkan
cinta, memperhaluskan adab dan akhlak sebagai bekal ke sana suatu hari
nanti.
Pernah pada satu tahun, ayah dan ma mendapat surat dari tabung haji yang memberitahu status mereka sebagai yang 'menunggu'. Kami adik beradik mula menaruh harapan yang berbunga-bunga. Ayah dan ma gembira bukan kepalang. Saya sendiri terasa bagai mahu bersorak riang... itulah. Betapa tinggi harapan kami untuk melihat ayah dan ma pergi ke sana. Harapan ayah dan ma lebih-lebih lagi.
Pada tahun tersebut atas nasihat beberapa kenalan, ayah dan ma mula membuat sedikit persediaan. Membuat Pasport antarabangsa, mengambil ubat suntikan di klinik kesihatan. Manalah tahu kalau tahun itu memang benar-benar ayah dan ma di terima pergi ke tanah suci, tidaklah kelam kabut sangat. kerana persiapan telah dibuat.
Namun status 'menunggu' tersebut memang lah untuk terus menunggu. Sehingga hujung Syawal ayah dan ma termasuk kami menunggu. Tiada sebarang jawapan lagi. dan terus diam. Tapi, putaran hidup manusia memang berkisar juga dengan perjalanan takdir Allah yang di gelar Rezeki. Akhirnya, kami semua mendapat tahu nama ayah dan ma tidak termasuk dalam senarai yang terpilih. Kami hampa. kecewa. Ayah redha. Rezekinya masih belum tiba.
Tapi dalam sabar, ikhtiar dan doa yang berterusan itu, kesihatan ayah makin merosot. Semakin hampir ke waktu yang dinantikan ayah semakin tidak bermaya lemah dan lesu. Ketika kami menyemak senarai nama jemaah melalui internet, nama ayah dan nama Ma diterima sebagai jemaah haji muasaah pada tahun 2013. Hanya tinggal 2 tahun sahaja lagi, kami berdoa adik beradik semoga ayah dan ma diberi kesihatan yang baik untuk waktu itu. Hanya 2 tahun sahaja lagi setelah lama menanti....
Takdir Allah mengatasi segala-galanya. Kita usaha, kita ikhtiar dan berdoa. Berserah dan bertawakal. Sesungguh mana pun kita merancang, Allah juga sebaik-baik perancang. Yang mana setiap rancangan kita juga telah termasuk dalam rancanganNya. Walau apa pun, Allah tahu yang terbaik, Ayah kesihatan ayah yang semakin merosot membawa kepada kematiannya. Ayah dipanggil menemui Allah pada tahun 2012. Hanya setahun sahaja lagi yang tinggal untuk dia menunaikan impiannya.
Sebenarnya, pada tahun tersebut Ma yang bersungguh mahu membawa juga Ayah ke Tanah suci, telah menempah untuk membuat umrah. Nama telah di beri, bayaran telah dibuat kain ihram dan kelengkapan telah tersedia. Ayah dan Ma kalau ikutkan jadualnya, akan berlepas menunaikan umrah pada bulan April 2013. Pun begitu segala-gala hal urusan hidup kita manusia masih tetap tertakluk dalam rancangan Allah, Ayah di ambil olehNya pada bulan Mac, hanya sebulan sahaja lagi untuk tiba pada tarikh dia menunaikan Umrah. Selagi Allah tidak mengizinkan. Tidak akan berlaku walau satu apa perkara pun.
Kata seorang kenalan, semua usaha ayah selama ini untuk menunaikan rukun islam ke lima itu telah pun Allah kira, bermula dari niatnya, hari daftarnya, ikhtiar-ikhtiarnya, usaha dan doa-doanya Allah tak akan sia-sia kan.
Saya
yakin, cinta Allah itu bukan hanya di akhir tujuan, tetapi sudah ada
ketika kita melangkah memulakan perjalanan… Semoga saat kematian datang setelah kita sempat menunaikan Haji atau
mati semasa kita sedang berusaha untuk menunaikannya di sana.
Teringat makna haji – ertinya menuju. Haji ertinya menuju Allah, dan
bukankah kematian itu juga ertinya menuju Allah – pulang ke rahmatullah?
Oh, betapa ramai yang belum pergi tetapi hatinya telah pergi. Dan
betapa ramai pula yang telah pergi tetapi hatinya belum? Mudah-mudahan
kita tergolong dikalangan mereka yang telah pergi dengan membawa hatinya
sekali…